Thursday, 15 December 2011

Demonstrasi aman menguji penguasa: Masihkah kau manusia?

Memetik istilah asalnya dalam bahasa Inggeris, "demonstrate" dengan maksudnya "menunjukkan", tidak semestinya bermakna "protes", tetapi boleh bermakna meraihkan sesuatu.  Untuk pengkaji politik, Wong Chin Huat, demonstrasi adalah "iklan orang miskin", maka mengenakan denda kepada peserta perhimpunan menjurus kepada keadaan "terlalu miskin untuk turun ke jalan raya".

Menurut Wong Chin Huat, seseorang tidak semestinya perlu turun ke jalan raya untuk menyampaikan sesuatu.  Seandainya memiliki wang yang mencukupi, maka seseorang itu boleh membeli semua ruang iklan sepanjang jalan raya, ataubillboard untuk menyampaikan mesejnya.


Justeru itu, mereka yang turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi biasanya terdiri daripada mereka yang tidak memiliki wang untuk menyiarkan iklan.  Seandainya iklan disifatkan sebagai "bersuara dengan menggunakan wang", maka demonstrasi adalah tindakan "bersuara dengan menggunakan manusia".  Peserta demonstrasi tidak menggunakan iklan kerana terlalu miskin untuk menanggung kosnya, kini mereka pula "terlalu miskin untuk turun ke jalan raya", kerana tidak terdaya untuk membayar denda seandainya dituduh di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang diluluskan Dewan Rakyat pada 29 November 2011 memperuntukkan agar penganjur yang tidak mengemukakan pemberitahuan perhimpunan, didenda tidak melebihi RM10,000; dan denda tidak melebihi RM20,000 kepada peserta yang membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.

"Tidak banyak orang yang memiliki syarat untuk turun berdemonstrasi di jalan raya.  Anda mungkin perlu menjual kereta, dan mungkin tidak dapat jelaskan pinjaman untuk membayar hutang rumah anda... (jika didenda kerana terlibat dalam perhimpunan yang melanggar undang-undang.)" katanya.

Demikianlah respon Wong Chin Huat, ketika berucap dalam satu forum bertemakan Akta Perhimpunan Aman, anjuran Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.  Turut hadir sebagai panelis termasuklah ahli parlimen Batu merangkap Naib Presiden PKR Tian Chua, dan Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan Ooi Heng.

Demonstrasi aman

Wong Chin Huat juga seorang aktivis sosial, mengulas bagaimana demonstrasi aman boleh menghakis keabsahan regim pemerintah.  Seringkali penguasa menyemai ketakutan masyarakat terhadap perhimpunan, dengan tanggapan bahawa perhimpunan akan menjurus kepada keganasan.  Beliau menjelaskan, seandainya peserta demonstrasi bertindak ganas, ia sebaliknya memberi keabsahan kepada regim diktator untuk terus berkuasa, malah menggunakan keganasan ke atas peserta demonstrasi.
Beliau mengambil contoh bagaimana penjajah Inggeris terpaksa tunduk kepada Mahatma Gandhi yang mengambil pendekatan untuk berdemonstrasi secara aman.  Penjajah Inggeris mendakwa diri mereka datang untuk mentamadunkan masyarakat tempatan, namun Ghandhi mengambil pendekatan aman untuk menentang penjajahan - tidak mengiktiraf kuasa kerajaan British.  Mesej Ghandhi jelas, seandainya penjajah Inggeris bertindak, mereka terpaksa menggunakan keganasan terhadap Ghandhi.

Maknanya Ghandhi menggunakan tubuh badannya untuk mencungkil keperimanusiaan pihak lawannya, dengan satu soalan diajukan, "Masihkah kamu manusia?"  Semakin penguasa menggunakan keganasan, maka semakin sukar untuk penguasa menjawab soalan berbunyi "Masihkah kamu manusia?", kerana Britisih pada ketika itu mendakwa diri mereka "bertamadun", ulas Chin Huat.

Chin Huat berkata, semua regim diktator di dunia berdepan dengan satu persoalan, berapakah orang yang ingin kamu bunuh?  Seandainya terlalu sedikit orang yang dibunuh, maka regim tersebut gagal menakutkan rakyatnya; sebaliknya, seandainya terlalu ramai rakyat yang dibunuh, maka ia bakal mencungkil kesan sebaliknya, di mana ia mencungkil rasa benci rakyat terhadap regim tersebut.
Beliau mengambil contoh Tunisia, di mana pencetus revolusi ini adalah seorang pemilik gerai yang membakar dirinya setelah gerainya disita dan dirinya dikasari polis.  Sebagai reaksinya, ramai orang yang membakar diri sebagai tanda protes.  Tindakan membakar diri pernah digunakan warga Tibet, sanggup menghancurkan tubuh badan diri untuk memberitahu kerajaan China, bahawa "aku lebih rela mati daripada diperintah kerajaan kamu!"

Chin Huat menjelaskan, mereka yang mengambil pendekatan ini tidak berniat untuk mengugut penguasa bahawa penguasa akan dicederakan, sebaliknya mereka akan mengorbankan diri.  Ertinya, jikapun berlaku kecederaan dalam proses ini, peserta demonstrasi aman yang akan mengalami kecederaan itu, dan bukan pihak penguasa.  "Mesejnya, manusia boleh 'wujud' bukan hanya dalam bentuk hidup, saya (peserta demonstrasi) boleh mati jika perlu," jelasnya ketika mengisahkan sejarah perjuangan demonstrasi aman di dunia.

Beliau juga memetik José Rizal, bapa kemerdekaan Filipina yang pernah berkata, "tiada diktator yang zalim tanpa hamba-abdi".  Chin Huat berkata, masalahnya bukan "manusia terpaksa menjadi hamba", tetapi "tanggapan bahawa adalah sesuatu yang biasa untuk manusia menjadi hamba".

Demonstrasi merangsang ekonomi

Menurut Wong Chin Huat, seringkali perubahan dalam dunia dicetuskan orang yang tidak terkenal.  Mengambil contoh Rosa Parks, Chin Huat menceritakan bagaimana wanita ini enggan beredar dari tempat duduknya dalam bas, sebagai protes terhadap diskriminasi orang putih ke atas orang kulit hitam pada tahun 1955.  "Satu orang bukan perhimpunan namanya, tetapi boleh jadi sebagai protes," katanya, menceritakan bagaimana insiden ini menjurus kepada gerakan menuntut hak kesamarataan untuk orang kulit hitam di Amerika Syarikat, yang dipimpin Martin Luther King Jr. kemudiannya.
Chin Huat cuba mengaitkan Aunty BERSIH, makcik yang terkenal selepas perhimpunan BERSIH 2.0.  Orang biasa seperti Aunty Anne, beliau mengakui bahawa dirinya pengecut dan tidak berani untuk turun ke jalan raya sebelum bersara, kerana bekerja sebagai guru dan makan gaji dengan kerajaan.  Ia memberi impak yang besar, kerana kebanyakan kita berkongsi pengalaman dan perasaannya, ulas Chin Huat.

Chin Huat yang terlibat secara aktif dalam anjuran perhimpunan aman di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, cuba menyanggah hujah bahawa demonstrasi menjejaskan ekonomi.  Mengambil contoh perhimpunan di KLCC baru-baru ini, peserta diseru membeli-belah ketika hadir untuk berhimpun.  Menurut perkiraan kasar, kutipan resit daripada peserta yang hadir menunjukkan kira-kira RM2,000 telah dibelanjakan pada hari itu, apabila demonstrasi aman mengambil tempat di KLCC.

"Mereka yang menghalang demonstrasi aman sebenarnya menghalang pertumbuhan ekonomi," katanya disambut tepukan.  Beliau berkongsi pengetahuannya bagaimana berdemonstrasi secara kreatif - di mana-mana, pada bila-bila, dan mampu dilakukan siapa-siapa- sambil itu beliau berkata, tujuan protes bukan sejauh mana anda lakukan, tetapi keberanian anda untuk tampil ke depan dan menuntut bahawa saya ada hak milik dalam negara ini.

"Ini kerana sama ada negara ini mahu maju ke depan atau tidak, ia adalah hal kita bersama," simpul Chin Huat.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons