Monday 28 November 2011

Maal Hijrah 1433 Di Malaysia


Sambutan Maal Hijrah 1433 hari ini disambut sederhana dengan kebanyakan masjid di sekitar ibu negara mengadakan aktiviti keagamaan termasuk kuliah dan ceramah untuk menyemarakkan lagi hari memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW dan penghijrahannya dari Mekah ke Madinah.
Antara yang mengadakan sambutan itu ialah Masjid Usamah Zaid di Wangsa Maju, Masjid Amru Ibni Al'As di Sentul, Masjid Syakirin di Gombak dan Majid Jamek di Kampung Baru.

Tinjauan Bernama mendapati Masjid Syakirin juga tidak ketinggalan menganjurkan program dakwah yang berbentuk moden melalui hiburan, perniagaan, forum dan tarikan lain.
Selain itu, beberapa pasangan turut menjadikan hari istimewa ini untuk memeterai ikatan sebagai suami isteri di beberapa masjid termasuk di Masjid Usamah Zaid dan Masjid Amru Ibni Al'As.
Menara Kuala Lumpur juga menganjurkan pertandingan memasak bubur lambuk, yang kemudian diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini bertemakan "Persefahaman Asas perpaduan Ummah" dengan matlamat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Di PULAU PINANG, sambutan Maal Hijrah peringkat negeri bertemakan "Hijratul Rasul Pencetus Perubahan" diadakan di Dewan Sri Pinang.
Sempena sambutan itu, pengurus dan pengamal perubatan Klinik Syifa', Dr Danial Zainal Abidin, 56, dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1433 Pulau Pinang, berikutan bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan dakwah dan kebajikan.
Anugerah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.
Selain itu, ibu tunggal Mariah Ahmad, 71, dipilih menerima anugerah Ibu Mithali, bekas anggota polis Hanafiah Saad, 82, menerima anugerah Bapa Mithali manakala guru, Siti Sarah Khoo Abdullah, 46, menerima anugerah Saudara Kita dan Pengetua Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena, Khairol Annuar Musa, 46, pula dianugerahkan Pendakwah Negeri.
Pada majlis sama, Abdul Rahman turut melancarkan konsep Masjid Madani yang berteraskan ciri-ciri 3M iaitu  mulia, mesra dan menarik.
In KAPIT, Sarawak Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan umat Islam di negeri ini mengenai tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keamanan dalam masyarakat bagi kebaikan bersama.
Di majlis itu, Tokoh Maal Hijrah dianugerahkan kepada bekas setiausaha kerajaan negeri dan kini tokoh korporat Tan Sri Bujang Mohd Nor, 77, (untuk kategori Orang Islam) dan bekas kakitangan awam kanan dan kini pemimpin masyarakat Bidayuh Temenggong Datuk Stephen Jussem Dundon, 75, (bagi kategori bukan Orang Islam).
Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta umat Islam melakukan transformasi ke arah mencapai kecemerlangan dari segi akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan secara menyeluruh.
Beliau berkata ini membolehkan umat Islam meletakkan indeks peningkatan jati diri sebagai Muslim berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya saing dan sentiasa proaktif dalam menyusun strategi memajukan agama, bangsa dan negara.
Perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringakt negeri Sabah berlangsung di Dewan Saadah, Wisma Muis.   Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Sementara itu, bekas ketua Hakim Syrie Sabah Datuk Mohd Nor Wahab dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Sabah bagi tahun ini.   Mohd Nor, 77, yang  berasal dari Perak, menerima RM15,000, sijil penghargaan dan pakej menunaikan umrah yang disampaikan oleh Juhar.
Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meminta penduduk negeri ini supaya mengekalkan perpaduan dan keharmonian selain mengelak daripada membicarakan isu-isu sensitif secara terbuka.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
Di majlis itu, pengerusi Perkim Pahang yang juga bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Pahang oleh Sultan Ahmad Shah.  Selain persembahan nasyid, kira-kira 1,000 hadirin turut disajikan dengan Bicara Hijrah oleh pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
Di KLUANG, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman mengajak umat Islam supaya menekankan semangat perpaduan yang dilihat mula tergugat.
"Kalau kita sentiasa tidak sehaluan, selalu bercakaran, mudahlah kita dikuasai oleh pihak lain. Pepatah Melayu ada mengatakan "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".
Sempena sambutan itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah)Allahyarham Mohamed Salleh Sarwan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Johor.
Hadiah wang tunai RM10,000, sijil, plak dan pingat disampaikan kepada anaknya Ahmad Zakaria Al Ashari manakala anugerah Saudara Kita disampaikan kepada Mohd Syafiq Vijaya Abdullah, Azlin Lee Abdullah dan Sapuri Che Hok.
Di KUALA TERENGGANU, bekas setiausaha Parlimen di Kementerian Belia dan Sukan, bekas anggota Parlimen Dungun dan Penasihat Menteri Besar Terengganu Allahyarham Datuk Awang Jabar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu 1433H.
Hadiah RM10,000, piala dan sijil kepada Allahyarham, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Marang pada 20 September lepas, disampaikan kepada   anaknya Datuk Ahmad Amir Awang pada sambutan itu di Stadium Negeri hari ini.
Sementara itu, Keluarga Tokoh Mithali dimenangi Wan Saripah Ahmad dari Besut yang menerima RM5,000, piala dan sijil manakala Masjid Kampung Rawai Marang memenangi kategori masjid mukim terbaik untuk menerima RM5,000, piala dan sijil.
Di IPOH, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah transformasi yang dilaksanakan haruslah disusuli dengan kesungguhan dan ketegasan ke arah membina sebuah negara yang sejahtera.
"Transformasi perlu dibuktikan dengan ketegasan tindakan baik dalam usaha untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf sosioekonomi ummah, membanteras jenayah, memerangi rasuah, menambahbaikkan sistem penyampaian perkhidmatan," titah baginda pada perhimpunan Maal Hijrah 1433 peringkat negeri hari ini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.
Sempena sambutan itu bekas qari kebangsaan 1964 dan qari Perak 1972 Datuk Tarmizi Mohamad, 73, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Perak. Manakala Anugerah Khas Maal Hijrah dianugerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yakim Abdul Rahman Awang Kechil.
Di ALOR SETAR, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah umat Islam tidak harus hilang pedoman sekiranya berhadapan dengan masalah dan cabaran semasa kerana Nabi Muhammad S.A.W merupakan contoh dan panduan terbaik untuk diteladani walaupun diuji dengan pelbagai tohmahan, cabaran dan dugaan.
"Umat Islam haruslah mengakui dengan jujur bahawa segala cabaran dan bencana yang menimpa berpunca daripada kesilapan sendiri," titah baginda pada sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Seri Mentalon hari ini.
Sempena sambutan itu, Tuanku Abdul Halim berkenan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kedah kepada Pensyarah Kanan Kolej Universiti Insainah (KUIN) Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi, 63.
Sumber: ILuvIslam

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons